BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday 7 June 2009

AKHLAK SEORANG MUSLIM

Pernahkah terlintas, adakah aku berakhlak dengan akhlak islam? Sudahkah aku islam sepenuhnya? Atau masih lagi perlu dididik dan juga mendidik?

"Aku telah mengucapkan dua kalimah syahadah. Mengesakan AllahSWT dan mengakui Rasulullah SAW pesuruh Allah."

"Aku solat 5 waktu sehari semalam. Kadang-kala lebih-lebih pula."

"Aku juga berpuasa di bulan Ramadhan. Tidak sekali meninggalkannya selagi tiada ke'uzuran yang meringankan."

"Aku membayar zakat. Tak pernah terlepas dan tak pula merasa beban."

"Aku mahu menunaikan fardhu haji di Mekah. Cukuplah sekali sepanjang usia."

Berpegang pada 5 rukun islam adalah wajib. Tetapi, ada lagi aspek kehidupan yang perlu dipertimbangkan. Pergaulan dengan masyarakat contohnya. Sesungguhnya, manusia adalah makhluk Allah yang sosial. Perlu pada perhubungan sesama manusia. Perlu berkomunikasi.

Benarlah, Islam itu agama yang syumul. Melengkapi semua segi kehidupan. Termasuklah dari sudut akhlak. Rasulullah SAW juga diutuskan untuk seluruh umat.

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak."

Akhlak itu merupakan tanda keimanan seseorang kerana akhlak yang baik adalah hasil daripada keimanan yang tersemat di hati. Namun, ramai manusia telah lupa perkaitan penting antara islam dan akhlak. Pada mereka, akhlak haruslah mengikut zaman dan masyarakat. Akhlak yang baik dan sempurna diukur mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh manusia sendiri, tidak lagi mengikut perintah Allah SWt dan Nabi SAW.

Fathi Yakan, dalam bukunya (Apa Ertinya Saya Menganut Islam) mewar-warkan hubungan penting antara akhlak dan agama. Rasulullah SAW ditanya tentang apakah itu agama? Baginda menjawab kemuliaan akhlak manakala apabila ditanya apakah itu kejahatan? Jawab baginda SAW adalah akhlak yang buruk.

Melihat dari sudut 'ibadah, Islam secara halus mengajar manusia untuk berakhlak dengan akhlak islam. Contohnya, bepuasa mengajar manusia untuk patuh dan ta'at pada perintah Allah SWT. Patuh kepada perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa juga adalah bukti islam mendidik kita dengan akhlak islamiyah. Kesimpulannya, setiap apa yang kita lakukan adalah islam. Akhlak seharian kita juga adalah islam. Patuh pada sunnatullah.

* bersifat warak dari melakukan perkara-perkara syubhat
* memelihara penglihatan
* memelihara lidah
* bersifat pemalu
* bersifat lemah-lembut dan sabar
* bersifat benar
* bersifat tawaduk
* menjauhi sangka buruk dan mengumpat
* bermurah hati.

*Untuk penjelasan lanjut dan pemahaman mendalam, sila rujuk buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam ditulis oleh Fathi Yakan.

Sudah cukupkah aku mengamalkannya? Terasa masih lagi ada rompong, belum cukup. Namun, janganlah kita terlalu memaksa diri mencapai kesempurnaan hakiki kerana itu adalah suatu yang mustahil melainkan dengan kehendak Allah SWT. Sesungguhnya, setiap makhluk Allah ada kelemahan tambah-tambah lagi kita sebagai manusia yang dikurniakan 'akal.

Apa yang lebih utama adalah usaha dan ikhtiar. Natijahnya, terpulanglah kepada Allah SWT. Sungguh, hati ini milik-Nya dan Dia-lah berkuasa membolak-balikkan hati manusia.

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah setan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu."(Surah al-Baqarah 2: 208)

0 comments: